Pakar IT Islam perlu prihatin dengan dakwah maya


Seringkali saya katakan dalam mana-mana kesempatan, khusus kepada pakar-pakar IT dalam kalangan orang Islam supaya mempergunakan kepakaran mereka untuk Islam, bukan sewenang-wenang menggunakannya untuk kepuasan diri atau sebaliknya. 

Sementara tokoh-tokoh agama dan para pemikir harus mengambil orang-orang seperti ini sebagai regu mereka dalam penyebaran maklumat Islam. 

Pengalaman saya, apabila kita membuat carian atas talian berhubung dakwah maya, kita hanya akan berjumpa beberapa laman web, blog, FB dan seumpamanya yang dikendalikan secara individu sementara pihak jabatan agama serta badan NGO Islam pula, web mereka hanya dikunjungi sejumlah pengunjung, masih jauh ketinggalan berbanding web, blog dan FB bersifat isu semasa yang tidak mencerminkan tarbiah; dikunjung ribuan malahan puluhan ribu dalam satu waktu. 

Kerana realiti inilah, kita patut memikirkan perkara ini agar era keterbukaan yang ada, dapat kita manfaatkan seluas-luasnya untuk penyebaran dakwah yang boleh saja kita namainya dengan DAKWAH MAYA.

Sementara itu, penyertaan dalam Konvensyen Dakwah Kebangsaan yang dibuat hampir setiap tahun masih perlu diperhalusi agar penyertaan dalam konvensyen ini mengambilkira penyertaan segenap lapisan manusia yang terlibat dalam dakwah tanpa mengira mereka itu berjabatan, berpersatuan atau secara individu. 

Justeru, bukan setakat orang yang sama saja terlibat setiap tahun tetapi juga mereka yang belum pernah terlibat. 

Pentingnya proses seperti ini supaya, perkongsian pengalaman sesama pendakwah dapat dikongsi dalam konvensyen ini, sekali gus dibawa pulang ke tempat masing-masing untuk dilaksanakan jika sesuai dan diubahsuai pula jika kurang sesuai.

Begitu, DAKWAH MAYA. Mengapa tidak dianjurkan suatu program yang melibatkan personalia atau grup pelbagai latar belakang serta kepakaran? 

Kalau hanya mengharapkan tokoh-tokoh agama dalam penyebaran dakwah, bukan semua lapisan masyarakat boleh sampai ke program kuliah para tokoh ini. Ringkasnya, lebih banyak medium yang kita gunakan untuk dakwah, maka lebih banyak sasaran dakwah yang dapat ditembus, in syaa Allah. 

DAKWAH MAYA di atas talian terbuka; Siapa saja yang boleh membaca dan masuk ke mana-mana ruang, itulah sasarannya.

Kepada badan-badan agama, mohon difikirkan perkara ini. Tidak salah jika dana diberikan kepada mana-mana kelompok atau individu yang berkemampuan mengadakan sistem DAKWAH MAYA untuk manfaat umum. 

Sikap menangguh dengan jawaban skema “perkara ini sedang dipertimbangkan”, sudah agak lama. Maka, sudah-sudahlah. 

Sebagai penggiat DAKWAH MAYA, saya selalu bersedia berkongsi sedikit pemikiran dan pengalaman yang ada, in syaa Allah.

Nazri Abdullah