Cara ini salah dalam Islam - Nazri


Tindakan sebuah badan NGO Islam menyembelih ayam dan melumurkan darah ayam sembelihan itu pada banner yang terdapat gambar pemimpin DAP dan PKR berikutan isu Teresa Kok yang sedang hangat diperkatakan adalah tidak wajar dilakukan sebuah badan NGO Islam, kata Presiden Persatuan Pendakwah Islam Sabah, Mohd. Nazri Abdullah berkaitan isu yang telah dipaparkan di laman sesawang media bebas Malaysiakini.
Sumber gambar diambil dari laman sesawang Malaysiakini
Tambah beliau lagi, sebagai Islam seharusnya penyelesaian bagi setiap permasalahan dikembalikan kepada hukum Allah. Sumber rujukan bagi umat Islam adalah Qur'an dan hadis,  bukannya mengikut pemikiran atau perasaan.

Menyembelih ayam dengan niat menzahirkan kebenaran atau sebaliknya adalah amalan Pagan dalam kalangan masyarakat Dusun serta beberapa etnik lain di Borneo. 

Perbuatan ini bermaksud sumpah bagi dirinya menunjukkan seseorang tidak melakukan perkara berkaitan. 

Perbuatan ini juga merupakan kemuncak apabila pengadilan ke atas diri seseorang dilihat tidak adil. Malahan,  kata beliau,  sumpah itu boleh diiringi jampi-jampi tertentu, sedangkan menyembelih binatang dalam Islam hanya sah jika niat kerana Allah. Niat selain itu tidak sah, katanya.

Beliau menambah, perbuatan NGO berkaitan bukan saja bertentangan amalan Islam bahkan menimbulkan pelbagai persepsi khususnya dalam kalangan saudara-saudara baru.  

Katanya lagi, apa yang penting  adalah memperbanyakkan kerja-kerja dakwah, dan jangan sekali kali menjadi tunggangan pihak-pihak berkepentingan.

"Sepatutnya kita sebagai orang Islam malu di hadapan Allah atas kegagalan kita menyampaikan Islam kepada masyarakat umum khususnya bukan Islam" kata Mohd. Nazri mengakhiri perbualan.