KOTA KINABALU: Seruan Presiden PERKASA, Ibrahim Ali merampas dan membakar alKitab yang mengandungi perkataan Allah tersiar di akhbar, blog, web, facebook baru-baru ini telah mengundang pelbagai reaksi dan sikap dalam kalangan pembaca.
Bukan saja penganut agama Kristian, bahkan orang-orang Islam turut melontar pandangan keresahan dan kekhuatiran melampau.
Oleh itu, Ibrahim Ali wajar menarik balik kenyataan tersebut sekaligus memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia berbilang kaum dan fahaman agama.
Kenyataan beliau bukan saja bertentangan dengan ajaran Islam tetapi mengundang perasaan benci dan kurang senang sekalipun beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai tanda menjaga kesucian Islam berikutan pengunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.
Namun, umum tahu beliau bukanlah seorang yang berwibawa dalam mengupas dan memberi hukum terhadap perkara tersebut kerana perkara ini sewajarnya diserahkan kepada ‘yang ahli’ untuk mendapatkan hukum sebenar penggunaan kalimah Allah berpandukan Al-Qur’an, hadis dan kitab-kitab mukhtabar.
Apa yang berlaku sehingga kini, keputusan isu ini masih belum menyeluruh. Walaupun ada sebahagian tokoh menyatakan tidak boleh, tetapi tiada seruan atau kenyataan yang keluar dari mulut mereka meminta merampas dan membakar al-Kitab sebagaimana dinyatakan oleh Ibrahim Ali.
Apa yang jelas, Islam tidak sewenang-wenangnya bertindak dalam apa juga urusan melainkan setelah dimusyawarahkan dengan penuh maklumat.
Ia sebagaimana sunnah Rasulullah SAW berhadapan dengan kaum musyrikin dengan mengutus surat dan wakil kepada ketua-ketua suku sewaktu itu. Wakil utusannya bukan sekadar pembawa surat tetapi berilmu dan berkemampuan.
Di Sabah, berdasarkan tinjauan PENDAKWAH menerusi ulasan maya yang dilontarkan berkaitan isu ini, ia secara langsung telah menyumbang pembantutan dakwah.
Pihak jabatan agama harus mengambil tindakan wajar terhadap beliau sementara ahli-ahli Perkasa perlu memperhalusi kredibiliti Ibrahim sebagai Presiden Perkasa agar pertubuhan itu tidak dianggap sebagai pertubuhan pemecah belah perpaduan di Malaysia.
Mohd. Nazri Abdullah
Presiden PPIS
Mohd. Nazri Abdullah
Presiden PPIS